Paparan

Search This Blog

Thursday, September 16, 2010

Selamat Hari Malaysia

Tarikh hari ini 16 September, negara menyambut hari pembentukan Malaysia yang pertama. Sepanjang usia 53 tahun negara mencapai kemerdekaan pelbagai cabaran telah ditempuhi dengan jayanya namun masih ada tugas yang belum selesai.
Cabaran paling besar ialah usaha menyatukan kaum yang pelbagai latar belakang kehidupan, agama, pemikiran dan budaya sebagai satu rakyat Malaysia yang patriotik serta bangga hidup dan dilahirkan di bumi tercinta ini.
Setiap rakyat yang dilahir di bumi Malaysia akan didaftarkan kelahirannya sebagai warganegara Malaysia. Ke mana sahaja mereka pergi di muka bumi ini, mereka akan membawa hanya satu sijil kewarganegaraan iaitu Malaysia.
Setiap rakyat yang jika suatu masa dahulu ibu bapa, datuk nenek atau moyangnya dari Siam, India, China, Indonesia, Burma, Filipina, Tanah Arab, Benua Eropah atau di mana sahaja di muka bumi ini; sekiranya hari ini diberi taraf kewarganegaraan tidak kira secara kelahiran atau pun permohonan sewajarnya mendaulatkan dan mencintai negara ini.
Suatu waktu dahulu, Sir Barnes dan Tunku Abdul Rahman pernah bertegas setiap rakyat yang diberi taraf kewarganegaraan wajib menunjukkan ketaatan kepada negara ini tanpa berbelah bahagi (perkara ini dinyatakan apabila ada pihak yang menentang Dasar Pendidikan Kebangsaan).
Akhbar ruangan pembaca Berita Harian hari ini menyiarkan pandangan Tan Sri Lee Lam Thye mengenai "Perpaduan yang perlu dipupuk daripada sekolah". Pandangan Tan Sri amat wajar untuk dihayati oleh semua kaum yang memegang taraf kewargenegaraan bumi tercinta ini. Saya percaya hasrat Tan Sri akan terlaksana dengan jayanya jika semua kaum ikhlas menerima dan melaksanakan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan menyokong sepenuhnya memperkasa SK.
Saya juga yakin setiap rakyat di bumi Malaysia ini amat menghargai sumbangan setiap pengetua dan guru sekolah dalam melaksanakan agenda perpaduan negara melalui sistem pendidikan. Sekolah sentiasa berperanan memupuk perpaduan kaum melalui sistem persekolahan berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Negara.
Oleh yang demikian, peranan Yayasan 1Malaysia harus lebih aktif untuk memastikan semua kaum terutamanya sentiasa lantang menentang Dasar Pendidikan Kebangsaan dan penggunaan satu bahasa, satu kurikulum dan satu sekolah agar lebih terbuka menerimanya sebagai warganegara Malaysia yang telah merdeka selama 53 tahun.

1 comment:

  1. Sama-samalah kita berbangga menjadi rakyat Malaysia - Bumi bertuah tempat tumpah darahku

    ReplyDelete

Kongsi minda anda