Paparan

Search This Blog

Wednesday, September 22, 2010

Sayunya hati bagai ditusuk sembilu

Hati sering kali terguris apabila ada warga pendidik yang dilemparkan pelbagai tohmahan. Isu menyatupadukan semua kaum melalui agenda pendidikan tidak pernah sunyi dari tentangan demi tentangan semenjak merdeka lagi.
Akhir-akhir ini membaca kata nista mencemuh antara satu sama lain di dunia maya amat menghiris hati. Di bumi bertuah ini kita semua dilahirkan. Di bumi bertuah ini anda semua di bawa demi kepentingan penjajah yang mengaut kekayaan hasil bumi tercinta. Ada juga yang datang secara sukarela membina kehidupan baru yang lebih gemilang di bumi emas ini. Kita semua kemudiannya disatukan sebagai syarat diberi kemerdekaan.
Sejarah negara bangsa menceritakan segala-galanya, jika kita buta sejarah bererti kita tidak mengenali asal usul negara dan bangsa kita.
Setelah 53 tahun merdeka, kita semua menelan jerit payah berkongsi kehidupan di bumi bertuah ini. Semua kaum...(ulang) semua kaum harus memahami budaya, agama dan sensitiviti kaum lain. Ajarlah anak-anak kita untuk menjadi rakyat Malaysia yang boleh menerima kaum lain dengan hati terbuka. Jika kita sebagai warga tua berterusan berkeras untuk anak-anak kita belajar, hidup dan berada dalam kelompok kaum yang sama dan tidak mahu belajar hidup secara toleransi dengan kaum lain; ini akan memberikan persepsi dan reaksi yang renggang dan cepat melenting apabila ditegur atau dinasihati individu tertentu.
Berubahlah menjadi bangsa yang lebih pemaaf, bertoleransi dan tidak berdendam kerana anda semua hidup di bumi yang jauh lebih beradap sopan dan kaya dengan budaya penyayang.
Malaysia sahajalah bumi kita yang berdaulat...tiada lagi tanah lain yang kita boleh hidup dengan aman, menyedut udara segar dengan tenang dan membina kehidupan yang lebih gemilang kerana disinilah bumi NegaraKU. Anda mungkin boleh berhijrah ke negara lain dan memohon kewarganegaraan negara lain, tapi kami disinilah nenek moyang kami, disinilah tanah tumpah darah kami. Disinilah jasad kami bakal bersemadi.
Pemimpin negara menjadi harapan kami. Belalah anak bangsa agar tidak terjajah di bumi sendiri. Janganlah agenda dan kuasa politik membunuh kami secara senyap.
Anak-anak peribumi sedarlah diri, leka dengan hiburan, gejala sosial dan tidak mencintai kecemerlangan ilmu akan merendahkan martabat diri di bumi berdaulat ini.

No comments:

Post a Comment

Kongsi minda anda