Pendidikan merupakan salah satu agenda penting pembangunan sesebuah negara. Negara Finland sebagai contohnya merancang pembangunan pendidikan rakyat mereka bermula dari dalam kandungan lagi sehingga anak-anak mereka meneruskan pembelajaran ke peringkat yang lebih tinggi bagi tujuan menyediakan intelektual dan tenaga sumber pakar dalam memajukan negara.
Model yang sama telah diadaptasi oleh kebanyakan negara maju. Konsep pembangunan bermula dari dalam kandungan ini sebenarnya dinyatakan dengan jelas dalam Al Quran. Malahan Islam turut mengajar tentang perancangan membangunkan insan ini bermula dari pra perkahwinan, alam rahim, awal kanak-kanak dan sehinggalah anak-anak meningkat dewasa. Islam itu cara hidup.
Negara kita juga turut menggunakan model yang sama dalam membangunkan modal insan. Pembangunan awal kanak-kanak ini sangat diambil perhatian sehinggakan isteri PM melahirkan idea menggerakkan Permata.
Hari ini, agenda pendidikan bukan hanya difikirkan oleh kerajaan malahan turut menjadi perhatian yang serius sektor swasta. Semenjak World Trade Organization (WTO) memperluaskan kuasanya menguasai ekonomi dunia melalui liberalisasi perdagangan secara multilateral dan bilateral, semua sektor perdagangan termasuk sektor perkhidmatan negara di dunia mengurangkan halangan-halangan bagi memudahkan aliran barangan, perkhidmatan dan sumber manusia secara bebas merentasi sempadan negara.
Perjanjian GATS (General Agreement on Trade in Services) telah memberi mandat kepada liberalisasi bergerak secara progresif di dalam semua sektor perkhidmatan termasuk pendidikan.
Aliran pemikiran kapitalisme ini telah secara terbuka menghalalkan campurtangan kuasa korporat di dalam perkhidmatan awam. Kesannya hari ini kita melihat wujudnya konsep 'edubussiness' atau perniagaan pendidikan. Agenda pendidikan telah menjadi salah satu bidang perniagaan yang kompetetif. Institusi pendidikan turut dibangunkan oleh sektor swasta, dan hasil intelektual diterbitkan secara penerbitan ilmiah, dipatenkan dan menjana sumber kewangan kepada institusi pendidikan.
Sekolah-sekolah turut mendapatkan sumbangan dana sektor korporat melalui perjanjian menang-menang. Tranformasi pendidikan khususnya dalam vokasional dan teknik (Voctech) turut dijana oleh sektor korporat dalam menyediakan latihan industri kepada murid-murid di SMT/V dan sekolah harian. Di samping itu juga, model Sekolah Amanah memberi ruang dan peluang kepada GLC membantu memajukan agenda pembangunan modal insan negara.
Kesan globalisasi kepada sektor pendidikan ini amat besar jika tidak dikawal, dan pihak berwajib alpa dengan aliran liberalisasi yang boleh menjerut leher kekuasaan kita melalui perjanjian perdagangan bebas yang bakal ditandatangani.
Perniagaan tidak harus dibiarkan menguasai sepenuhnya bidang pendidikan. Awas kepada fahaman penyokong liberalisasi, kerana mereka akan berusaha memastikan pada masa hadapan pendidikan akan dikuasai secara progresif melalui penswastaan, keusahawanan dan sumbangan modal.
No comments:
Post a Comment
Kongsi minda anda