(Agaknya model sekolah hamil di luar negara ini yang menjadi sumber ilham penubuhan sekolah ini. Namun budaya dan tuntutan agama kita berbeza dengan mereka. Model negara kita lebih kepada pemulihan dan kesedaran membina aqidah)
Gejala zina yang semakin berleluasa dalam kalangan remaja sekolah islam amat membimbangkan banyak pihak. Tambahan pula perlakuan zina ini kemudiannya memberi natijah kepada pembunuhan dan pembuangan bayi yang dikandung. Ibu yang mengandung pula masih dalam usia persekolahan dan tidak meneruskan pembelajaran selepas melahirkan bayi secara haram.
Idea menubuhkan Sekolah Harapan bagi menempatkan remaja yang mengandung mendapat reaksi yang pelbagai dari masyarakat dan warga pendidik. Rata-rata beranggapan Sekolah Harapan (Sekolah Hamil asalnya) akan mencetus fenomena yang menggalakkan lagi gejala zina dalam kalangan remaja sekolah.
Hari ini akhbar melaporkan sekolah ini mula menerima pendaftaran 5 orang pelajar yang mengandung. Sekolah yang diubahsuai daripada premis Syarikat Bekalan Air Melaka ini dikhabarkan menelan kos sebanyak RM100j. Sekolah ini juga menerima peruntukan tahunan berjumlah RM500 ribu daripada kerajaan negeri dan boleh menampung seramai 40 orang pelajar pada satu-satu masa.
Sekolah ini sebenarnya tidak banyak bezanya dengan sekolah-sekolah agensi kerajaan yang menempatkan murid yang mempunyai pelbagai latar belakang masalah sosial yang telah wujud di dalam negara. Terdapat juga NGO yang menubuhkan sekolah yang seumpama ini bagi membantu golongan yang masih mempunyai harapan untuk berubah dan menjadi baik agar dapat meneruskan kehidupan dengan jalan yang diredhai Allah.
Dasar KPM sedia ada, tidak pernah menghalang pelajar yang hamil untuk meneruskan persekolahan mereka. Sering kali murid dan ibu bapa sendiri yang memberhentikan anak-anak mereka dari meneruskan persekolahan jika didapati anak-anak mereka mengandung atau pun berkahwin.
Sekolah Harapan ini semuga memberi sinar baru kepada ibu bapa agar dapat mengembalikan anak-anak yang silap langkah ini ke jalan yang benar. Dalam masa yang sama sewajarnya sekolah ini akan menjadi sumber alternatif bagi persekolahan pemulihan aqidah dan akhlak remaja.
Masyarakat amat bimbang agar sekolah ini tidak dijadikan rumah alternatif menyembunyikan diri remaja yang hamil oleh ibu bapa. Pihak sekolah perlu sentiasa turut memberi kesedaran kepada ibu bapa agar dapat membimbing anak dan cucu mereka yang bakal keluar dari sekolah tersebut.
Harap masyarakat tidak terkeliru dengan Sekolah Harapan Negara yang telah dianugerahkan kepada sekolah terbaik KPM sebelum ini.
No comments:
Post a Comment
Kongsi minda anda