Paparan

Search This Blog

Wednesday, September 29, 2010

Pelajar ditahan khayal pil kuda

Anak-anak hari ini menghadapi pelbagai cabaran yang memerlukan kawalan dan perhatian yang lebih daripada ibu bapa. Kes dua pelajar antara yang ditangkap di Trengganu bukanlah satu kes yang terpencil. Hal ini adalah kerana ada terdapat lebih ramai lagi murid yang menjadi mangsa. Dadah sintetik ini telah menjadi pembunuh anak-anak bangsa secara senyap dan sedikit demi sedikit.

Sebenarnya lebih ramai murid yang tidak dilaporkan, disembunyikan oleh ibu bapa dan tidak kurang juga tidak diambil peduli lagi oleh ibu bapa. Lebih teruk lagi ada yang membekalkan dadah kepada anak kerana tidak mahu anak memberontak atau mendatangkan umpat keji jiran dan taulan apabila anak masuk ke pusat pemulihan.

Kes-kes ini berlaku bukan hanya di bandar-bandar besar, tetapi lebih ramai lagi di kampung-kampung dan juga luar bandar.

Semua pihak yang berkaitan seperti KPM, KDN, ahli politik, pemimpin peringkat kampung, JKM dan Antidadah harus bergabung membenteras gejala yang merosakkan negara ini.

Nak pegang watak apa?


Dalam kehidupan ini manusia umpama pelakon. Ada pelbagai watak yang mereka bawa dan lakonkan. Ada yang jadi pelawak, ahli politik, jadi pendidik, berlagak sebagai hero dan pelbagai ragam. Malahan ramai juga yang bertopengkan syaitan.


Ramai juga golongan manusia yang tersepit, ikut turut sama mengheret orang lain supaya tersepit. Agenda baling bola memang kegemaran pemain-pemain bola handalan di dalam satu-satu situasi. Tambahan pula kalau mereka jadi ahli diplomatik, pemidato dan mempunyai hujah yang kukuh tengkok mereka akan dapat diselamatkan. Sementara bagi yang silent workers akan diheret untuk dipancung...


Betul la kata orang...menjadi ahli politik tu bagus...ada kroni dan berkroni juga selamat...pandai main silap mata juga aman...


apa2 pun....Allah maha melihat dan mendengar....

Saturday, September 25, 2010

Globalisasi dan Pendidikan

Pendidikan merupakan salah satu agenda penting pembangunan sesebuah negara. Negara Finland sebagai contohnya merancang pembangunan pendidikan rakyat mereka bermula dari dalam kandungan lagi sehingga anak-anak mereka meneruskan pembelajaran ke peringkat yang lebih tinggi bagi tujuan menyediakan intelektual dan tenaga sumber pakar dalam memajukan negara.
Model yang sama telah diadaptasi oleh kebanyakan negara maju. Konsep pembangunan bermula dari dalam kandungan ini sebenarnya dinyatakan dengan jelas dalam Al Quran. Malahan Islam turut mengajar tentang perancangan membangunkan insan ini bermula dari pra perkahwinan, alam rahim, awal kanak-kanak dan sehinggalah anak-anak meningkat dewasa. Islam itu cara hidup.
Negara kita juga turut menggunakan model yang sama dalam membangunkan modal insan. Pembangunan awal kanak-kanak ini sangat diambil perhatian sehinggakan isteri PM melahirkan idea menggerakkan Permata.
Hari ini, agenda pendidikan bukan hanya difikirkan oleh kerajaan malahan turut menjadi perhatian yang serius sektor swasta. Semenjak World Trade Organization (WTO) memperluaskan kuasanya menguasai ekonomi dunia melalui liberalisasi perdagangan secara multilateral dan bilateral, semua sektor perdagangan termasuk sektor perkhidmatan negara di dunia mengurangkan halangan-halangan bagi memudahkan aliran barangan, perkhidmatan dan sumber manusia secara bebas merentasi sempadan negara.
Perjanjian GATS (General Agreement on Trade in Services) telah memberi mandat kepada liberalisasi bergerak secara progresif di dalam semua sektor perkhidmatan termasuk pendidikan.
Aliran pemikiran kapitalisme ini telah secara terbuka menghalalkan campurtangan kuasa korporat di dalam perkhidmatan awam. Kesannya hari ini kita melihat wujudnya konsep 'edubussiness' atau perniagaan pendidikan. Agenda pendidikan telah menjadi salah satu bidang perniagaan yang kompetetif. Institusi pendidikan turut dibangunkan oleh sektor swasta, dan hasil intelektual diterbitkan secara penerbitan ilmiah, dipatenkan dan menjana sumber kewangan kepada institusi pendidikan.
Sekolah-sekolah turut mendapatkan sumbangan dana sektor korporat melalui perjanjian menang-menang. Tranformasi pendidikan khususnya dalam vokasional dan teknik (Voctech) turut dijana oleh sektor korporat dalam menyediakan latihan industri kepada murid-murid di SMT/V dan sekolah harian. Di samping itu juga, model Sekolah Amanah memberi ruang dan peluang kepada GLC membantu memajukan agenda pembangunan modal insan negara.
Kesan globalisasi kepada sektor pendidikan ini amat besar jika tidak dikawal, dan pihak berwajib alpa dengan aliran liberalisasi yang boleh menjerut leher kekuasaan kita melalui perjanjian perdagangan bebas yang bakal ditandatangani.
Perniagaan tidak harus dibiarkan menguasai sepenuhnya bidang pendidikan. Awas kepada fahaman penyokong liberalisasi, kerana mereka akan berusaha memastikan pada masa hadapan pendidikan akan dikuasai secara progresif melalui penswastaan, keusahawanan dan sumbangan modal.

Thursday, September 23, 2010

Kita Perlu Bersatu

Kebelakangan ini dunia menyaksikan penentangan terhadap islam dengan membakar Al Quran, merusuh di dalam masjid dan menghina umat islam dengan kata-kata yang menghina, malahan ada yang sanggup membunuh.

Dakyah musuh islam yang meniup islamofobia nampaknya semakin menular ke dalam pemikiran orang-orang barat. Musuh islam sangat gentar dan bimbang kekuatan umat islam akan semakin kuat dan dapat menguasai dunia.
Ketakutan yang melampau ini telah menyebabkan mereka melancar strategi melemahkan umat islam dengan cara:
1. Banjir besar melanda Pakistan tidak surut dalam keadaan panas terik dianggap senjata eco (ecologi weapon ) yang sengaja dicipta dengan membentuk tsunami. Jutaan rakyat hilang tempat tinggal dan penyakit mula menular mengancam terutamannya kanak-kanak.
2. Sentiasa menyerang Palestin tanpa menghiraukan bantahan dari seluruh umat islam.
3. Mencetuskan suasana tidak aman di negara islam seperti ancaman Bendera ke atas Malaysia.
4. Mengadakan penentangan terhadap pembinaan Masjid di New York dengan cara membakar Al Quran dan menghidupkan sentimen permusuhan terhadap islam angkara bencana 9/11.
5. Melancarkan perang psikologi secara senyap ke dalam minda anak-anak muda melalui media dan hiburan agar anak-anak islam tidak mengamalkan islam dengan sepenuhnya.
6. Memesongkan aqidah umat islam melalui filem, muzik, buku-buku kartun, perayaan dan sambutan hari-hari tertentu, seminar-seminar dalam amalan menguruskan perniagaan, program motivasi dan banyak lagi.
7. Menghalalkan restoran-restoran yang menyediakan makanan yang boleh mengotorkan hati umat islam.
8. Memesongkan pandangan umat islam untuk berkiblatkan kajian barat daripada mengkaji Al Quran dalam menguruskan kehidupan, perniagaan, negara, ekonomi dan juga politik.
Pengkajian secara 'longitude study' terhadap kekuatan islam telah menemukan formula dan strategi yang berkesan di pihak mereka. Musuh islam mula mengenalpasti elemen-elemen yang melemahkan umat islam yang ditiup halus ke dalam jiwa umat islam tanpa disedari kita semua.
Oleh itu, tiba masanya kita harus kembali ke pangkal jalan. Kekuatan islam bermula dari rumah. Islam harus bersatu dan melihat gejala yang berlaku hari ini adalah musibah akibat dari kealpaan kita semua mengejar kehidupan duniawi sehingga mengabaikan mendidik anak-anak dengan iman dan taqwa.

Wednesday, September 22, 2010

Sayunya hati bagai ditusuk sembilu

Hati sering kali terguris apabila ada warga pendidik yang dilemparkan pelbagai tohmahan. Isu menyatupadukan semua kaum melalui agenda pendidikan tidak pernah sunyi dari tentangan demi tentangan semenjak merdeka lagi.
Akhir-akhir ini membaca kata nista mencemuh antara satu sama lain di dunia maya amat menghiris hati. Di bumi bertuah ini kita semua dilahirkan. Di bumi bertuah ini anda semua di bawa demi kepentingan penjajah yang mengaut kekayaan hasil bumi tercinta. Ada juga yang datang secara sukarela membina kehidupan baru yang lebih gemilang di bumi emas ini. Kita semua kemudiannya disatukan sebagai syarat diberi kemerdekaan.
Sejarah negara bangsa menceritakan segala-galanya, jika kita buta sejarah bererti kita tidak mengenali asal usul negara dan bangsa kita.
Setelah 53 tahun merdeka, kita semua menelan jerit payah berkongsi kehidupan di bumi bertuah ini. Semua kaum...(ulang) semua kaum harus memahami budaya, agama dan sensitiviti kaum lain. Ajarlah anak-anak kita untuk menjadi rakyat Malaysia yang boleh menerima kaum lain dengan hati terbuka. Jika kita sebagai warga tua berterusan berkeras untuk anak-anak kita belajar, hidup dan berada dalam kelompok kaum yang sama dan tidak mahu belajar hidup secara toleransi dengan kaum lain; ini akan memberikan persepsi dan reaksi yang renggang dan cepat melenting apabila ditegur atau dinasihati individu tertentu.
Berubahlah menjadi bangsa yang lebih pemaaf, bertoleransi dan tidak berdendam kerana anda semua hidup di bumi yang jauh lebih beradap sopan dan kaya dengan budaya penyayang.
Malaysia sahajalah bumi kita yang berdaulat...tiada lagi tanah lain yang kita boleh hidup dengan aman, menyedut udara segar dengan tenang dan membina kehidupan yang lebih gemilang kerana disinilah bumi NegaraKU. Anda mungkin boleh berhijrah ke negara lain dan memohon kewarganegaraan negara lain, tapi kami disinilah nenek moyang kami, disinilah tanah tumpah darah kami. Disinilah jasad kami bakal bersemadi.
Pemimpin negara menjadi harapan kami. Belalah anak bangsa agar tidak terjajah di bumi sendiri. Janganlah agenda dan kuasa politik membunuh kami secara senyap.
Anak-anak peribumi sedarlah diri, leka dengan hiburan, gejala sosial dan tidak mencintai kecemerlangan ilmu akan merendahkan martabat diri di bumi berdaulat ini.

Tuesday, September 21, 2010

Sekolah Harapan (sekolah hamil)

(Agaknya model sekolah hamil di luar negara ini yang menjadi sumber ilham penubuhan sekolah ini. Namun budaya dan tuntutan agama kita berbeza dengan mereka. Model negara kita lebih kepada pemulihan dan kesedaran membina aqidah)

Gejala zina yang semakin berleluasa dalam kalangan remaja sekolah islam amat membimbangkan banyak pihak. Tambahan pula perlakuan zina ini kemudiannya memberi natijah kepada pembunuhan dan pembuangan bayi yang dikandung. Ibu yang mengandung pula masih dalam usia persekolahan dan tidak meneruskan pembelajaran selepas melahirkan bayi secara haram.


Idea menubuhkan Sekolah Harapan bagi menempatkan remaja yang mengandung mendapat reaksi yang pelbagai dari masyarakat dan warga pendidik. Rata-rata beranggapan Sekolah Harapan (Sekolah Hamil asalnya) akan mencetus fenomena yang menggalakkan lagi gejala zina dalam kalangan remaja sekolah.


Hari ini akhbar melaporkan sekolah ini mula menerima pendaftaran 5 orang pelajar yang mengandung. Sekolah yang diubahsuai daripada premis Syarikat Bekalan Air Melaka ini dikhabarkan menelan kos sebanyak RM100j. Sekolah ini juga menerima peruntukan tahunan berjumlah RM500 ribu daripada kerajaan negeri dan boleh menampung seramai 40 orang pelajar pada satu-satu masa.


Sekolah ini sebenarnya tidak banyak bezanya dengan sekolah-sekolah agensi kerajaan yang menempatkan murid yang mempunyai pelbagai latar belakang masalah sosial yang telah wujud di dalam negara. Terdapat juga NGO yang menubuhkan sekolah yang seumpama ini bagi membantu golongan yang masih mempunyai harapan untuk berubah dan menjadi baik agar dapat meneruskan kehidupan dengan jalan yang diredhai Allah.


Dasar KPM sedia ada, tidak pernah menghalang pelajar yang hamil untuk meneruskan persekolahan mereka. Sering kali murid dan ibu bapa sendiri yang memberhentikan anak-anak mereka dari meneruskan persekolahan jika didapati anak-anak mereka mengandung atau pun berkahwin.

Sekolah Harapan ini semuga memberi sinar baru kepada ibu bapa agar dapat mengembalikan anak-anak yang silap langkah ini ke jalan yang benar. Dalam masa yang sama sewajarnya sekolah ini akan menjadi sumber alternatif bagi persekolahan pemulihan aqidah dan akhlak remaja.


Masyarakat amat bimbang agar sekolah ini tidak dijadikan rumah alternatif menyembunyikan diri remaja yang hamil oleh ibu bapa. Pihak sekolah perlu sentiasa turut memberi kesedaran kepada ibu bapa agar dapat membimbing anak dan cucu mereka yang bakal keluar dari sekolah tersebut.


Harap masyarakat tidak terkeliru dengan Sekolah Harapan Negara yang telah dianugerahkan kepada sekolah terbaik KPM sebelum ini.

Sunday, September 19, 2010

Menu Raya

Sambutan Lebaran tahun ni rasa lega sikit sebab anak-anak tak de yang sakit perut. Selalunya hari raya ke dua anak-anak mula berulang ke tandas secara kerap.

Antara menu yang menjadi kegemaran dihidang di KB seperti satay, nasi dagang, ketupat, tape, aneka nasi dan lauk, kuzi cecah roti, serta nasi impit dan kuah satay. Jika di Selangor dan lain-lain yang hampir sama mungkin rendang dan lemang, lontong, dll.

Semalam jiran-jiran datang beraya...masak mee kari instead of guna ayam saya pakai tulang lembu. Boleh tahan jugak sedapnya...

Menu raya apa lagi istimewa ?

Cerita raya mangsa yang dijadikan menu beruang dan anjing ganas....

Thursday, September 16, 2010

Selamat Hari Malaysia

Tarikh hari ini 16 September, negara menyambut hari pembentukan Malaysia yang pertama. Sepanjang usia 53 tahun negara mencapai kemerdekaan pelbagai cabaran telah ditempuhi dengan jayanya namun masih ada tugas yang belum selesai.
Cabaran paling besar ialah usaha menyatukan kaum yang pelbagai latar belakang kehidupan, agama, pemikiran dan budaya sebagai satu rakyat Malaysia yang patriotik serta bangga hidup dan dilahirkan di bumi tercinta ini.
Setiap rakyat yang dilahir di bumi Malaysia akan didaftarkan kelahirannya sebagai warganegara Malaysia. Ke mana sahaja mereka pergi di muka bumi ini, mereka akan membawa hanya satu sijil kewarganegaraan iaitu Malaysia.
Setiap rakyat yang jika suatu masa dahulu ibu bapa, datuk nenek atau moyangnya dari Siam, India, China, Indonesia, Burma, Filipina, Tanah Arab, Benua Eropah atau di mana sahaja di muka bumi ini; sekiranya hari ini diberi taraf kewarganegaraan tidak kira secara kelahiran atau pun permohonan sewajarnya mendaulatkan dan mencintai negara ini.
Suatu waktu dahulu, Sir Barnes dan Tunku Abdul Rahman pernah bertegas setiap rakyat yang diberi taraf kewarganegaraan wajib menunjukkan ketaatan kepada negara ini tanpa berbelah bahagi (perkara ini dinyatakan apabila ada pihak yang menentang Dasar Pendidikan Kebangsaan).
Akhbar ruangan pembaca Berita Harian hari ini menyiarkan pandangan Tan Sri Lee Lam Thye mengenai "Perpaduan yang perlu dipupuk daripada sekolah". Pandangan Tan Sri amat wajar untuk dihayati oleh semua kaum yang memegang taraf kewargenegaraan bumi tercinta ini. Saya percaya hasrat Tan Sri akan terlaksana dengan jayanya jika semua kaum ikhlas menerima dan melaksanakan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan menyokong sepenuhnya memperkasa SK.
Saya juga yakin setiap rakyat di bumi Malaysia ini amat menghargai sumbangan setiap pengetua dan guru sekolah dalam melaksanakan agenda perpaduan negara melalui sistem pendidikan. Sekolah sentiasa berperanan memupuk perpaduan kaum melalui sistem persekolahan berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Negara.
Oleh yang demikian, peranan Yayasan 1Malaysia harus lebih aktif untuk memastikan semua kaum terutamanya sentiasa lantang menentang Dasar Pendidikan Kebangsaan dan penggunaan satu bahasa, satu kurikulum dan satu sekolah agar lebih terbuka menerimanya sebagai warganegara Malaysia yang telah merdeka selama 53 tahun.

Wednesday, September 15, 2010

Tragedi Sadis di malam merdeka

Berita Harian hari ini mendedahkan bahawa semua mangsa di bunuh pada 30 Ogos 2010 lebih kurang pada jam 10.00 malam. Tepat jam 12.00 malam negara menyambut kemerdekaan tanahair yang ke 53 dengan laungan merdeka dan persembahan di Stadium Bukit Jalil.
Tragedi sadis ini adakah pesta penjenayah di malam merdeka? Masya Allah...
Berdasarkan maklumat yang diperoleh dari blog saudara mazidul, penjenayah ini dilahirkan pada 11 Februari 1969. Hal ini bererti penjenayah adalah anak yang dilahirkan selepas negara mencapai kemerdekaan. Rakan sekelas adik penjenayah mendakwa perwatakan mereka menunjukkan orang yang kuat beragama dan tidak pernah berkawan dengan kumpulan samseng (Berita Harian).
Setelah 41 tahun hidup sebagai anak merdeka yang diberikan segala kemudahan dan kebebasan untuk menjalani kehidupan seharian, mereka akhirnya lahir sebagai penjenayah yang berprofil tinggi dan sangat kejam.
Siapa yang kejam? Mungkin penjenayah tersebut tidak merasa dirinya kejam kerana segala kerja-kerja membunuh dan menghapuskan bukti dilakukan oleh pembunuh upahan. Mereka hanya perlu memperdaya dan membayar upah dalam nilai yang tinggi apabila semua kerja telah selesai.
Dikhabarkan juga wang mereka mencecah belasan juta ringgit yang disimpan dalam pelbagai akaun di dalam negara dan di India, tidak termasuk aset dalam bentuk rumah, rumah kedai dan pejabat serta ladang.
wow...kekayaan yang luar biasa dalam sekelip mata. Mungkin legacy yang dibina dengan cara haram ini telah ujud dalam kalangan korporat terkenal negara, dan kita orang awam tidak pernah tahu atau tidak pernah mahu ambil tahu. Sikap kita yang sentiasa lega asalkan tidak berlaku kepada ahli keluarga dan diri sendiri seharusnya tidak lagi patut diteruskan.
Amalan menjaga tepi kain orang dan ambil peduli harus ujud dan diteruskan dengan tindakan yang sewajarnya serta tidak melampau. Kes ustazah di Port Dickson satu lagi contoh sikap tidak ambil peduli masyarakat, sebelum ini kes penderaan adik kecil yang disepak terajang hingga mati. Anak usatazah yang menjerit dan keadaan yang kecoh di dalam rumah ustazah akibat pergelutan dengan penjenayah tidak dihiraukan oleh jiran sebelah rumah.
Mengapa dan kenapa jadi begitu?
Kejadian ini merupakan kisah yang perlu difikirkan dan dikaji oleh semua masyarakat. Penjenayah tidak lagi gentar melakukan jenayah malahan hidup secara mewah tanpa gangguan oleh masyarakat dan pihak berkuasa.

Tuesday, September 14, 2010

Al Fatihah kepada mangsa pembunuhan kejam, Datuk Sosilawati dan rakan

Lebaran tahun ini diselubungi dengan suasana yang cukup sayu dan memilukan. Berita pembunuhan kejam ala gengster filem tamil/hindi mengejutkan semua rakyat Malaysia yang sentiasa mendabik dada sebagai sebuah negara yang aman. Berlakunya kes yang maha zalim ini harus menyedarkan semua pihak terutamanya pemimpin negara bahawa musuh utama keamanan negara berada dalam negara dan dilakukan oleh rakyat negara kita sendiri.
Mengapa dikatakan ala gengster filem tamil?
1. Penjenayah mengelabui mata masyarakat dengan berpura-pura kononnya dia adalah insan yang mulia hatinya (dalam filem dianggap dewa) dengan banyak berbakti kepada orang susah dengan cara membela dan memberi bantuan guaman percuma, menderma dan memperjuangkan jenayah seksual.
2. Mempunyai ladang yang dijadikan pusat kegiatan jenayah yang lengkap dengan kemudahan karaoke canggih dan chalet sebagai tempat mereka bergembira, berehat atau memperdayakan mangsa dan akhirnya dibunuh apabila perancangan jenayah mereka berjaya. Ladang tersebut dibina tembok tinggi dan jauh dari masyarakat luar dan sekaligus menjadi penjara maut kepada mangsa yang terpedaya dengan kebaikan dan gula madu yang ditabur oleh penjenayah.
3. Wang yang banyak hasil dari kerja jenayah menjadikannya ketua penjenayah yang kemungkinan mempunyai pekerja setia dan dibayar gaji.
Semua lakonan jenayah ini berlaku dengan jelas dihadapan mata anak-anak kita. Lebih kurang 10 tahun yang lalu pernah anak murid yang tinggal diladang apabila ditanya apa cita-citanya di masa hadapan, jawapannya amat mengejutkan...katanya saya nak jadi pembunuh upahan...di kampung saya cikgu ada satu keluarga yang adik beradiknya jadi pembunuh upahan..takdak polis tangkap pun dan mereka kaya.....
Hari ini mungkin ada yang bercita-cita nak jadi seperti penjenayah tersebut yang hidupnya mewah, terpelajar, dihormati walau pun hasil dari kerja-kerja jenayah kejam.
Hari ini kita semua perlu bangkit dan bertindak....kes ini harus dijadikan teladan dan penggerak kepada kerja-kerja menjaga keamanan negara. Semua pasukan keselamatan harus bergabung tenaga. Pasukan tentera harus masuk hutan dan kawasan yang dicurigai semula bukan untuk memerangi komunis tetapi mengekang kejadian jenayah yang bergerak secara terbuka, halus dan terancang.
Al fatihah untuk semua mangsa....tahniah kepada pasukan polis dan bertindaklah dengan adil tanpa gangguan kuasa-kuasa tangan ghaib yang boleh melepaskan penjenayah kejam ini dari mendapat balasannya. Jika kes ini terlepas dan tidak berjaya di pihak polis akan lahir lebh ramai penjenayah yang sama malah mungkin lebih kejam dari itu.

Friday, September 10, 2010

Eidul Fitri...tak de kampung ke?


Allahuakbar.....Allahuakbar...Allahuakbar...



Alhamdulillah, hari ini semua umat islam menyambut 1 syawal dengan penuh gembira dan keinsafan. Seperti biasa persiapan ala kadar mengikut keupayaan diri. Tahun ni baju raya beli siap semua anak-anak termasuk untuk mak sekali. Ada rezeki lebih sikit beli hadiahkan baju raya untuk adik dan anak-anak saudara. Rasanya macam belanja dah berhemah...tapi dek kerana harga baju tahun ni lagi mahal ...tengok-tengok banyak jugak habis...



Keperluan rumah tak de yang baru. Recycle je mana yang masih elok, termasuk langsir. Tapi jenuh nak kena gosok..dah lama simpan berkedut seribu. Tak pe la penat sikit...isteri mithali kena la bantu suami berjimat..hi..hi



Tahun ni beraya kat Nilai nanti hari raya ke 3 (ahad) baru balik KB. Pagi tadi solat raya di Masjid BB Nilai. Pak Imam Cikgu Zahari yang imamkan solat raya. Bagus pengisian khutbah yang disampaikan. Oleh kerana Pak Imam bekas pengetua, pesanan yang disampaikan ada penambahan dan releven dengan teks yang dibacakan juga isu umat islam di Malaysia terkini. Hidup beramal dan berbakti...bagus macam tu kan...



Ma dah balik awal lagi dengan adik Mat. Dua beradik je dapat balik beraya awal, Bad dan Mizi yang lain lepas raya baru balik. Belah suami...Kak Ani dan Amin je balik...yang lain tak balik. Ye la ma dan ayah mertua pun semuanya dah kembali ke rahmatullah. Balik pun dah tak berseri lagi macam dulu.



Malam tadi sibuk masak penuhi permintaan anak-anak. Ada yang nak makan rendang..ada yang nak nasi beriani...dan ada yang nak sate....tapi ketupat tak de..sedihnya...



Telefon ma menu apa pagi raya? seperti biasa kami kalau balik pun sekarang tak macam dulu. Dolu-dolu kalut aku dan ma masak. Sekarang semuanya tempah. Mana nak sempat cari lauk. Semenjak ma tak sihat dan tinggal bersama, selalunya hari buat ketupat baru balik (sehari sebelum raya). Ma kata tempah kuzi dan behun. Tahun ni tak de sate...sebab tahun lepas beli sate semuanya sakit perut...bakar tak masak. Ma pula tak dapat gi solat raya, tak sihat. Seri raya tu pun dah makin hilang...



Segala-galanya amat indah dulu...kini keindahannya berbeza. Usia dah semakin menjengah tua...kita pula yang kena dok rumah tunggu adik-beradik datang. Lepas solat raya kami ke Bangi beraya dengan mak su yang juga tak dapat balik. Ayah su dah hampir tiga bulan kena strok. Besok nak g beraya dengan Cikyah kat Klang, dan beberapa rumah sedara yang juga tak dapat balik beraya.



Selamat Hari Raya Eidul Fitri walau di mana kampung kita....

Sunday, September 5, 2010

Ketupat sambal, ekonomi dan didik

Keadaan ekonomi dunia hari ini masih belum pulih sepenuhnya. Malahan pakar ekonomi dunia berpendapat kesuraman ekonomi akan berterusan dan tiada petunjuk menunjukkan akan pulih. Negara yang mempunyai rezab yang banyak akan berada dalam kaedaan yang stabil. Sementara bagi negara yang sentiasa ditimpa mala petaka, peperangan, bencana alam atau defisit yang berganda akan mengalami saat yang sangat genting.

Sumber ekonomi hari ini tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada perdagangan bahan mentah, bahan industri atau pun komoditi. Negara yang rakyatnya lebih maju dari segi IT intelektual dan kreatif membina rangkaian perkhidmatan kepada pengguna akan dapat bertahan. Peluang perniagaan dalam perkhidmatan berasaskan IT, pembekalan makanan yang sihat, telekomunikasi, dan lain-lain perkidmatan berasaskan keselamatan pengguna atau organisasi; masih dilihat bertahan dan berterusan berkembang kerana pengguna belum bersedia mengurangkan penggunaannya.

Gergasi ekonomi dunia suatu waktu dahulu semakin lemah. Rakyatnya menyalahkan presiden Afrikan-Amerikannya dianggap paling teruk dalam senarai ke semua Presidennya sebelum ini. Hari ini kuasa ekonomi berada ditangan negara yang mempunyai aliran tunai yang banyak dan lebihan rezab negara. Kuasa ekonomi dunia mula beralih ke negara tembok besar. Negara China bukan sahaja mula menguasai ekonomi malahan juga turut mengembangkan bahasanya ke serata dunia. Hari ini, lapangan terbang antarabangsa dunia termasuk KLIA mula menggunakan bahasa mandarin sebagai perantara apabila membuat pengumuman.

Percayalah...kekuatan ekonomi boleh merubah segalanya. Namun apa jadi dengan anak-anak didik kita di sekolah? adakah mereka makin berkembang pemikirannya atau semakin jumud? siapakah yang menjumudkan mereka? kita sebagai guru di sekolah atau ibu bapa mereka di rumah...atau mungkin masyarakat persekitaran mereka. Walau siapa pun yang menyumbang kepada kejumudan pemikiran anak-anak kita ini yang menyebabkan mereka tidak berusaha untuk meningkatkan kecemerlangan diri dalam akademik dan kokurikulum natijahnya akan dirasai oleh negara seluruhnya.

Transformasi pendidikan yang ingin di bawa tidak semestinya merubah apa-apa perkara asas dalam pendidikan. Diibaratkan kereta, enjin yang menggerakkannya mengalami transformasi namun asasnya masih untuk memberi keselesaan dan pemanduan yang hebat kepada pengguna. Begitu juga dengan pendidikan. Transfromasi harus berlaku berasaskan murid, guru, infrastruktur kerana perkembangan dalam teknologi, globalisasi dan ekonomi yang turut merubah peradaban dan ketamadunan manusia.

Ajarlah anak kita untuk hidup dengan cemerlang. Terapkan ilmu semasa dalam pengajaran seharian di sekolah. Mengajar anak-anak yang agresif hari ini tidak boleh lagi pakai kapur tulis, buku teks atau duduk di kerusi seharian. Guru harus kreatif mengajar dan merentasi segala ilmu peradaban dan ketamadunan manusia agar mereka dapat berkembang pemikiran. Biarkan mereka bercakap dalam bidang mata pelajaran yang di ajar. Galakkan penerokaan dan ajar anak-anak kita berkongsi pengetahuan. Pengetahuan dalam bidang akademik dan umum yang mendalam akan menjadikan anak-anak kita lebih yakin diri apabila berhadapan dengan masyarakat di luar sekolah nanti. Dan yang paling penting, guru harus mengenali hakikat insan seorang murid. Mereka insan yang ingin disayangi, dihormati, dimanja seperti anak-anak kita dan buka mengajar dengan cara herdikan, sinis, atau gertakan. Transformasi pendidikan harus turut melibatkan profesional guru agar lebih kompeten dari segi ilmu, sikap dan kemahirannya yang menjadikan mereka lebih profesional.

Selamat bercuti semua guru, jasa anda akan tetap terpahat di batu peringatan negara. Saya percaya walau pun anda semua bercuti tetapi kerja tetap di bawa balik kampung menyambut raya.

Selamat Hari raya maaf zahir dan batin. tahun ni dapat ke makan ketupat sambal daging?