Paparan

Search This Blog

Sunday, September 13, 2009

BALIK KAMPUNG

Bagi kami anak-anak kelate yang mencari rezeki di perantauan saat yang paling menggembirakan adalah pulang berhari raya di kampung. Lagu sudirman dan M. Nasir pasti menjadikan hati penuh keterujaan untuk segera sampai ke kampung dan membuatkan jiwa diruntun kesayuan mengenangkan kedua ibu dan ayah yang lama tak dikunjungi. Apa yang menyeronokkan balik kampung adalah pengalaman sepanjang perjalanan. Cerita-cerita bersesak dijalan raya sepanjang karak-gua musang dan Kuala Krai-Kota Bharu pasti menjadi perbualan hangat sepanjang Hari Raya apabila bertemu sanak saudara. Selalunya waktu malam menjadi pilihan anak-anak perantauan untuk pulang ke kampung kerana lebih sejuk dan tidak risau dengan kerenah anak-anak yang bosan sepanjang perjalanan. Hayunan kereta bagaikan buaian yang mengulik tidur lena anak-anak sepanjang 8 ke 10 jam perjalanan.
Walau pun sepanjang jalan agak perit dengan kesesakan kereta yang pelbagai jenama dari viva hinggalah ke kereta mewah sedan dan MPV, namun hati tetap gembira meredah kepekatan malam dengan lampu kereta yang bersinar bagaikan butiran berlian di sepanjang jalan. Lagi mengharukan apabila semua kedai penuh dengan pelanggan yang mencari juadah untuk bersahur. Sampaikan pernah satu ketika bersahur dengan nasi goreng kosong semata-mata tanpa lauk. Semua surau pun penuh dan hampir tiada tempat untuk berhenti bagi menunaikan solat subuh. Kemeriahan pulang ke kampung bagaikan satu pesta namun menyesakkan jiwa masyarakat Bentong, Raub, Lipis dan Merapoh kerana menyebabkan urusan harian mereka terganggu akibat kesesakan yang berlaku. Apa yang pasti anak-anak Kelate telah menjadikan restoran tepian jalan yang dulunya kecil dan daif menjadi restoran perhentian yang besar dan lebih baik kemudahannya. Kalau dulu pekannya sepi tapi kini semakin maju dengan deretan kedai yang semakin bertambah banyak tumbuh sepanjang jalan di bandar-bandar tersebut. Sepanjang perjalanan kami anak-anak kelate menabur rahmat dan rezeki.
Dalam keriangan dan kemeriahan balik kampung pasti ada peristiwa yang menyayat hati apabila berlaku kemalangan yang mengerikan sepanjang perjalanan terutamanya laluan maut di sepanjang Bukit tujuh dan jalan Gua Musang-Kuala Krai. Mulut akan terkumat-kumit berdoa sepanjang jalan apabila menyaksikan kereta yang masuk gaung, terbabas ke dalam longkang, bertembung sesama sendiri atau pun lori muatan yang terbalik menyebabkan bahan muatan melimpah dijalan raya. Kemalangan yang berlaku akan menambahkan lagi kesesakan yang sedia ada. Kadang-kandang perjalanan akan mengambil masa sehingga 12 jam, 15 jam atau paling kritikal 24 jam.
Namun hari ini, ada alternatif Cameron Highland-Gua Musang yang menyelamatkan sesetengah anak Kelate dari bersesak di Karak-Gua Musang. Walau bagaimanapun jika memilih untuk menggunakan jalan alternatif Cameron-Gua Musang kami akan memastikan perjalanan dimulakan awal pagi agar dapat berbuka di KB pada malamnya. Jalan Cameron-Gua Musang masih belum dilengkapi dengan kemudahan awam yang diperlukan oleh pengguna lebuhraya. Tambahan pula jalan yang sunyi dan tiada penduduk menjadikan anak kelate kurang memilih jalan tersebut bimbang jika berlaku sesuatu kecemasan pasti lebih susah. Kadar Tol yang tinggi juga menyebabkan ianya kurang mendapat sambutan dan anak kelate lebih rela bersesak di Karak-GM.
Tahun ini umur pun dah tambah setahun, suami dah tak mahu lagi merasai kesengsaraan bersesak di jalan raya. Badan pun dah tidak bertenaga untuk berjaga sepanjang malam. Kami mengambil keputusan untuk beraya di sini dan pulang pada pagi Hari Raya selepas solat hari raya perjalanan akan lebih selesa dan masanya lebih singkat. Tahun ini kiranya kali kedua kami beraya di sini. Cuma sedihnya kemeriahannya tak sama dengan beraya di KB. Rupanya kita sudah bergerak ke arah menjadi orang tua...satu hari mungkin kita pun tak perlu ke mana-mana kerana anak-anak akan balik ke rumah untuk beraya. Kami sudah masuk ke generasi seperti makcik dan pakcik yang juga tidak lagi pulang ke kampung kerana orang tua semuanya tidak ada. Suami juga tiada siapa lagi di kampung. Ibu bersama saya...pulang ke kampung untuk menggembirakan ibu yang berkeras sangat nak beraya di kampung.
Masa begitu pantas berlalu...rasanya masih baru dan segar berlari-lari bermain mercun dengan saudara sepupu di halaman rumah dan bertanding mengumpul duit raya. Kemeriahan Raya yang dirasai sewaktu kita kanak-kanak dan remaja sudah tidak dapat dirasai oleh anak-anak kita sekarang. Suasana meriah mereka berbeza...meriah bagi mereka adalah balik kampung.
Selamat Hari Raya anak-anak perantauan, semoga perjalanan pulang akan lebih selamat agar dapat bertemu ibu, ayah dan sanak saudara di kampung. Namun sebelum itu jangan lupa tunaikan zakat.

3 comments:

  1. Tiap-tiap minggu balik kampung semasa menuntut di IAB/IPK (2007/2009)

    ReplyDelete
  2. jasa anak kelate amat besar kepada pertumbuhan ekonomi rakyat Pahang daripada bentong ke merapoh.... sayangnya, kelantan selalu dianaktirikan dalam hal pembangunan

    ReplyDelete
  3. Sekarang ni kat laluan KL - KB tak kira hari raya atau tidak, sentiasa sesak. Kalau balik hari raya lagi sesak terutama di jalan Kuala Krai ke KB, mau ambil masa lebih 3 jam. jadi rancanglah perjalanan dengan betul lebih-lebih lagi bekalan makanan yang cukup. Ingat kedai makan banyak yang tutup.

    ReplyDelete

Kongsi minda anda