Paparan

Search This Blog

Friday, May 22, 2009

PENGETUA PENERAJU PERUBAHAN

Alhamdulillah hari ni mula terasa membuat penyelidikan. Soal selidik yang telah dimurnikan berulangkali bersama Pn. Zu telah dapat siap dibuat salinan jam 11.00 malam tadi. Itu pun setelah berjanji dengan adik agar dia dapat menjaga ibu malam ini sahaja sebab nak sediakan bahan-bahan untuk hari sabtu nanti. Pagi-pagi hantar anak dan jenguk ibu dahulu, risau adik lelaki jaga banyak tidurnya...
Hari ni mula mengutip data rintis di sebuah sekolah menengah yang berhampiran. Sebelum ke sekolah singgah di kedai buku untuk mendapatkan pen bagi memudahkan respondan mengisi jawapan. Pintu kedai di tolak...tersengih anak muda dan menyapa dari jauh bertanya khabar. Hati berdetik semakin kacak budak ni ...lalu membalas senyum dan sapaannya...Nizar adalah merupakan bekas pelajar sekolah saya, di mana sekarang sedang menuntut Mass Com di UiTM Shah Alam. Nak jadi Broadcast Journalist, nanti boleh jemput dan interview cikgu masuk TV katanya bergurau. Saya selalu memberikan kata-kata perangsang apabila berpeluang bertemu dengannya yang bekerja di kedai buku secara sambilan semenjak sebelum melanjutkan pelajaran lagi. Jika cuti semester di situlah dia akan berkerja seharian bagi mendapatkan wang saku. Pen di bayar dan terus bergerak ke sekolah.
Smk Seri Sepang, adalah merupakan sebuah sekolah yang sudah lebih 20 tahun lamanya berbanding SMK BBST (Sekolah Saya). Pengetua yang ada sekarang baru 10 bulan yang berpindah dari SMK Cengal, Kelantan, menggantikan pengetuanya yang bersara. Sekolah ini, dari segi pencapaian akademiknya rendah, sahsiah murid yang teruk, tiada budaya dan iklim pembelajaran yang kondusif dan pengetua yang sebelumnya menggunakan stail autokratik.
Kereta menyusuri pintu masuk sekolah itu. Pintu pagar sudah bertukar warna, jaga senyum dan membuka palang, masuk terus, saya dapati ada bangunan tambahan yang baru. Laman sekolah sudah bertukar wajah. Saya menuju ke pejabat, ruangan masuk menuju pejabat sudah berubah wajah dan lebih ceria, tetamu di sambut dengan deruan air dari pasu hiasan. Saya naik ke tingkat satu menuju pejabat sekolah bagi mendapatkan kebenaran pengetua bagi membuat kajian rintis. Saya sering ke sekolah ini semasa masih bertugas kerana menghadiri mesyuarat. Saya nampak banyak yang telah berubah dan sekolah lebih ceria dan menyamankan. Bangunan sudah bertukar warna, mural yang baru dihasilkan kelihatan di sudut dan ruangan tertentu, deretan bunga yang hidup dan segar menyamankan pandangan sepanjang koridor pejabat dan bilik guru. Saya menolak daun pintu dan disambut senyuman kerani di dalam ruangan pejabat. Saya minta kebenaran untuk berjumpa dengan pengetua, namun ada tetamu di dalamnya. Di ruangan menunggu kelihatan seorang murid lelaki yang dari pengamatan saya bukanlah pelajar yang nakal, kerana dia kelihatan kemas, bersih dan tidak selekeh. Saya fikir mungkin lelaki di dalam bilik pengetua adalah bapa murid itu. Sesekali kedengaran dengan jelas loghat kelantan pengetua berbicara dengan bapa pelajar tersebut. Dari perbualanya saya dapati pelajar tersebut ada masalah disiplin. Pelajar itu menundukkan kepala apabila saya memerhatikannya.
Melihat suasana sekolah yang agak tenang saya membuka suara bertanya murid itu adakah sekarang waktu peperiksaan. Dia menjawab lemah, peperiksaan sudah selesai minggu lalu. Saya berfikir sejenak, apa magis yang di bawa pengetua baru yang berloghat kelantan ini telah menukar sekolah yang satu waktu dahulu dianggap 'sinking school' dan tidak menjadi pilihan ibu bapa?. Jika ada pelajar yang bermasalah masuk ke sekolah kami, dia pastinya di buang dari seri sepang. Dalam saya berfikir sendirian, seorang guru wanita menyapa. Dari namanya saya kenal dia adalah penolong kanan yang saya lihat di carta organisasi sekolah sebentar sejurus masuk ke pejabat. Sebenarnya tadi saya mencari nama pengetua. Tapi penolong kanan telah bertukar baru (guru sekolah itu juga) kecuali PK Ko dan penyelia petang yang saya dah lama kenal dengannya. Saya menyatakan hasrat berada di situ, dan beliau membenarkan saya berjumpa dengan guru terlebih dahulu memandangkan pengetua ada tamu.
Setelah sejam berada di bilik guru saya selesai mengedarkan 30 soal selidik dan meminta kawan saya mengumpulkannya. Saya mengambil kesempatan bertanya dari segi kejelasan, bahasa yang digunakan dan susun atur item. Semuanya ok kecuali bahagian kualitatif yang mereka agak keberatan untuk menulis pendapat. Saya dapati juga ramai yang tidak pernah mendengar PLC, ini memberi ruang untuk saya menerangkan sepintas lalu, bahawa PLC bukanlah sesuatu yang asing kepada guru. PLC sering menjadi amalan guru-guru kita cuma, tidak dijenamakan sebagai PLC.
Jam 11 saya berjumpa pengetua. Melihat raut wajahnya, saya fikir beliau seorang yang mesra. Siapa tak kenal orang kelantan yang comel dan peramah, lembut berbicara dan tutur katanya jelas satu persatu. Ada ketenangan dan kematangan seorang pemimpin yang berkaliber. Pn Hjh Faridah Che Hussin menyambut saya dengan begitu mesra. Nama beliau dari Kementerian sepatutnya menggantikan pengetua saya, namun oleh kerana Grednya yang masih DG48 maka beliau tidak layak berada di sekolah saya pengetua DG52.
Beliau menceritakan detik menerima tawaran pada 30 April 2008 ke sekolah saya, iaitu sebulan setengah sebelum pengetua kami pencen. Hatinya berbunga riang cantik katanya sekolah kami macam kolej. Ok la sama taraf dengan SMK Cengal yang sudah dibangun dan dimajukan olehnya. Namun memo yang diterima pada Jun meruntunkan hatinya apabila diberikan nama sekolah lain iaitu SMK Seri Sepang di BBST. Beliau kehairanan mengapa berubah. Namun beliau
datang melaporkan diri atas arahan yang diberikan.
Keadaan sekolah dari segi fizikal, murid, guru dan staf mengejutkan beliau. Kedatangan yang tidak bersambut sebagaimana beliau menjadi pengetua di Kelantan (walau pun telah dimaklumkan kepada penlong kanan beliau akan melapor diri) telah memberikan gambaran bahawa sekolah tersebut tiada budaya. Oleh itu fokus utama beliau ialah membentuk budaya, memulihkan fizikal dan persekitaran sekolah agar selamat, ceria dan bersih, memperkasakan guru tingkatan dan guru disiplin, memperkasakan penolong kanan, menangani disiplin dan sahsiah murid, mengutamakan pembelajaran murid dan mengadakan hubungan yang erat dengan ibubapa dan agensi luar. Hasilnya selama 10 bulan sekolah berubah wajah, pembelajaran murid menampakkan hasil melalui peningkatan pencapaian, masalah disiplin berkurangan dan guru yang sebelum ini sering mengisi borang keluar tiada seorang pun yang mengisi borang pindah. Besok sekolah akan menerima anugerah khas daripada PPD sempena hari guru. Tahniah kepada Pn Hjh Faridah dan guru-guru SMK Seri Sepang.
Itu yang membezakan di antara pemimpin dan pengurus. Pemimpin akan berusaha mencipta inovasi yang membawa perubahan kepada penambahbaikan sekolah yang berterusan. Meminjam kata-kata beliau, "usaha yang luar biasa akan membawa hasil yang juga luar biasa. Jika kita bekerja biasa-biasa sahaja maka kita akan hanya mendapat hasil yang seperti biasa dan tiada perubahan. Namun tidak ada yang istimewanya beliau hanya kita perlu memberikan lebih tumpuan dan sentuhan. setiap permasalahan akan terus di ambil tindakan. Saya tidak boleh menunggu setahun untuk membuat perubahan, kerana keadaan dan persekitaran sekolah, murid dan guru merimaskan saya untuk hanya duduk di kerusi. Saya lihat sekolah ada masalah maka saya perlu cari jalan untuk membuat perubahan".
Untuk menjadi pengetua bukan kerja yang mudah kerana kita tidak boleh memilih sekolah yang kita inginkan. Pengetua yang hebat adalah dapat membawa perubahan daripada sinking school kepada moving school. Semuga Pn Hjh akan terus berjaya membawa penambahbaikan dan keberkesanan kepada sekolah.

3 comments:

  1. Nampaknya anda sudah dapat melepasi rintangan awal. Syabas!

    ReplyDelete
  2. Train wau bulan dah makin laju tu...janji sampai!

    ReplyDelete

Kongsi minda anda