Paparan

Search This Blog

Monday, September 28, 2009

Selamat Hari Jadi Amel...


sempat barbeque lepas potong kek Amel....kak ain dan makcik ain (fiance adik..) macam satu saiz je...



the one and only..my sister ...shikin dah dua anak adikku dolu-dolu ramping je...sekarang dah macam akak je badan...


suap la betul-betul mel....



suapan kasih untuk abah....

Semalam 27 September 2009 genap umur Amel 9 tahun. Selalunya mama dan abah sambut hari lahir beli kek dan tiup sendiri satu keluarga je...oleh kerana tahun ni mood raya masih ada jadi sambut hari lahir Amel agak meriah...jiran dan kawan-kawan Ain, Muaz dan Nani serta adik-beradik yang dapat hadir.

Friday, September 25, 2009

Modal Insan : bukan tanggungjawab kerajaan sepenuhnya

Membangunkan modal insan bukanlah tanggungjawab kerajaan dan cikgu-cikgu di sekolah sepenuhnya. Hari ini dunia menyaksikan terdapat sebahagian ibu bapa yang tidak menjalankan tanggungjawab mendidik anak-anak yang diamanahkan oleh Allah kepada mereka dengan sebaik mungkin.

Akhbar BH jumaat 25 September 2009 (hlm 16) menyiarkan tulisan kunta kinte yang mengupas permasalahan remaja hari ini dan yang berkaitan dengan samseng jalanraya merempit. Sebahagiannya saya bersetuju dengan pandangan Kunte kinte...namun ada beberapa perkara yang perlu difikirkan bersama dengan lebih mendalam akan permasalahan ini.
Saya bersetuju dengan beliau mengenai salah didikan ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak dengan menyediakan motor dengan alasan mudah untuk ke sekolah. Di sekolah saya dan beberapa sekolah lagi di Sungai Pelek memang kebanyakan murid yang tinggal berhampiran sekolah datang menaiki motor secara haram. Malahan ada juga anak pegawai kerajaan dan ibu bapa yang berpelajaran tinggi memberi kebenaran kepada anak-anak untuk menaiki motor ke sekolah. Alasannya tidak menyusahkan ibu bapa untuk menghantar dan mengambil anak dari sekolah kerana bekerja jauh dari rumah.
Namun, usaha membangunkan modal insan ini perlu bersepadu dengan melibatkan ibu bapa, komuniti, guru, pemimpin masyarakat, agensi kerajaan dan syarikat swasta. Setiap pihak memainkan peranan masing-masing dalam membantu sekolah untuk menjalankan tanggungjawab membentuk murid yang bersahsiah mulia dalam waktu mereka berada di sekolah. Apabila pulang ke rumah dan berada di dalam masyarakat mereka, amalan yang baik harus diteruskan diamalkan di dalam rumah dan komuniti. Apa yang menjadi musibah hari ini, terdapat pertentangan nilai di antara sekolah, rumah dan komuniti. Apa yang diajar baik di sekolah, belum tentu diamalkan secara baik di rumah dan di dalam komuniti.
Kesedaran setiap ibu bapa sangat penting kerana akan meningkatkan kesedaran yang sama di dalam komunit dan akhirnya seluruh rakyat dalam negara...

Ketupat Warisan

Ni...la ketupat warisan jamin sedap...sanggup g ke Pasir Puteh ...
kalu tak caya...cuba la pasti nak selalu...
saya suka ketupat sambal daging...my hubby kacang ...zammil ketupat manis kosong...
hari ni masih tahan simpan kat peti sejuk ...bila nak makan kukus semula...masih rasa sedap...

Hari raya tanpa ketupat memang tak sempurna bagi oghe melayu kelate. Ingat je dolu-dolu arwah mok domoh nenek sepupu yang dok sebelah rumah kat pasir pekan, setiap kali dia buat ketupat mesti panggil "mek ti oii...maghilah belajar wat ketupat ni...de aku tak dok tok gheti la nak buat...." setiap kali tu saya akan naik dan belajar membungkus dua tiga biji...pulas punya pulas..beras keluar jugak...budak yati yang umur 7 tahun masa tu memang tak tau apa2 (masa tu dok dgn moyang sekolah kat pasir pekan, tapi darjah 2 balik dok dgn mak semula kat bukit bidang pasir puteh... kampung ayah).

Betul cakap mok domoh...sekarang nak makan ketupat yang sedap macam arwah buat kena g tempah kat pasir puteh..nasib ada pakwar yang tolong perkenalkan ketupat ni masa kat IAB...rasanya bussiness keep going on for the next coming year....

pasal apa...dari rumah pakwar singgah kat rumah maksu (adik ayah) di Alor Hijau Selinsing. Bagi ketupat sebagai buah tangan. Bila balik rumah, Tini my cousin (anak maksu) sms beli kat mana ketupat nak g cari sedap giler katanya....nak wat balik puchong agaknya...katanya kalu kak A tempah lagi dia nak jugak....

Adik-adik saya memang dah tau ketupat tu sedap sebab tu tempah agak banyak....walau pun tak boleh makan banyak kerana pulut kolestrol tinggi...tu untuk adik beradik dan sedara yang rapat bila berkunjung dapat la merasa ketupat sedap ni....

Thanks kat Pakwar dan keluarga kerana tolong tempah ketupat...jangan serik ya...nanti nak tempah lagi...

Thursday, September 24, 2009

Hari Raya Nan Indah

Di pagi hari raya selepas sembahyang raya..bersama kak ani dan Zamani (yg baru balik ambik kedoktoran)

Bah...ampunkan dosa mama selama ini...

Bergambar sebelum bertolak pulang ke KB


Bergambar kenangan bersama ibu dan anak perempuan....my hubby kata kalu ain nak tengok masa tua tengok mama dan nenek....



Bergambar kenangan sebahagian 3 anak, 3 menantu dan cucu-cucu mak




Hari Raya semua warga kota akan berangkat pulang ke kampung masing-masing. Di Malaysia hampir 5 juta kenderaan berada di jalanraya di serata semenanjung yang menuju ke pelbagai destinasi. Kami sekeluarga balik ke KB pada tengahari Raya pertama melalui jalan Cameron-Gua Musang. Perjalanan alhamdulillah semuanya selamat. Namun dihighway CH-GM ada runtuhan dan satu lorong saja yang dibuka untuk laluan. satu lorong lagi runtuhan agak teruk dan jauh ke bawah kelihatan deretan lori dan jentolak yang melakukan kerja-kerja membaiki runtuhan jalan. Perjalanan memang lancar walau pun banyak kenderaan yang sama seperti kami baru balik kampung.
Satu hari di hari raya...
ku lihat wajah suci ibu ku...
ku lihat wajah kasih ayah ku.... (kunjung ayah hari raya ke 3.....)
ku gembira.....











Sunday, September 20, 2009

Nostalgia malam raya

Dolu-dolu dua hari dalam setahun yang sangat ditunggu-tunggu dengan gembira, satu hari pertama nak buka sekolah dan keduanya adalah hari raya. kedua-dua malam nak buka sekolah dan hari raya hati pasti gembira riang, mata pun tak boleh lelap...asyik tengok dan cuba baju baru...

bila dah remaja..sehari sebelum raya hari yang paling sibuk...oleh sebab rumah kami lantainya papan...mencuci lantai adalah satu yang mesti...makcik-makcik sibuk buat ketupat...oleh sebab mak orang KB (orang bandar)...buat ketupat tak berapa pandai....so pergi kat dapur makcik..meleleh air liur bau ketupat yang di "arong"...walau pun hari-hari tersebut hidup dah mula sengsara kerana ayah dah mula tak balik asyik dok rumah bini muda...tapi kami tetap gembira....kita tak tau mak sengsara kerana dok kampung ayah beripar duai...tapi ayah tak ada...sedihnya..

bila mak dah balik KB semula kerana sudah berpisah dengan ayah...saya tak dapat ikut mak balik KB kerana ayah taknak terpengaruh saya dengan kehidupan bandar katanya...hati lagi sengsara...jiwa memberontak...setiap hari dok kat sekolah petang baru balik...menyampah tengok muka mak tiri...bila nak raya tak sabar nak balik rumah mak...

Kat KB malam raya memang meriah...tukar langsir baru, mak masak kuzi, buat sate ramai-ramai cucuk (7 beradik)...malam dah bakar hampir separuh...mak masak nasi impit....sampai pagi mak masak...kesian tengok tidur pun kat dapur....walau pun kami 7 beradik tapi perempuan 2 orang...adik syikin masih kecik lagi..jadi mak memang harapkan saya nak bantu masak dan kemas rumah...arwah moyang....becok mulutnya berleter kat kami tengah malam masih bising...tak reti nak tidur budak ni....satu lagi berebut stesyen tv..riuh rendah..macam ramai sangat adik beradik kami...

bila dah masuk universiti....sebelum balik kampung mesti shopping baju raya untuk adik-adik kat globe guna duit biasiswa (pinjaman bolehubah)...dulu duit loan walau pun sikit tapi sangat berharga boleh tampung belanja kat U dan hantar kat mak untuk belanja sekolah adik2. terima kasih kepada kerajaan dan MARA yang bantu orang miskin macam saya untuk berjaya dengan cemerlang....(hutang dah lama langsai dapat diskaun lagi). masa tu Balik kampung dengan bas yang diuruskan oleh anak2 kelate..meriah sangat....

Masa kat u mak dah mula ada kedai makan...nama kedai tu kelakar sangat "NORHAYATI NASI AYAM". Nasi Ayam memang speciality mak....bila kawan2 balik bercuti mereka mesti singgah kat kedai mak di parking depan Hankyu (masa tu), hari sabtu memang ramai...bila cuti saya mesti balik tolong mak kat kedai...kawan2 mesti menyakat sebab saya agak cubby...sinonim dengan nama kedai...

Kedai tu ada sentimental value...kat situ my hubby mula jatuh cinta kat saya....tapi bukan saya...kerana saya tak pernah perasan dia datang kat kedai....kerja saya kat kedai ialah sediakan pesanan, cuci pingan dan mop lantai sebab tak suka kedai kotor dan bersepah....ambil pesanan agak jarang kecuali kalu ramai sangat saya akan tolong...masa tu my hubby jaga projek bangunan sebelah kedai mak...kita ni kiranya bercinta lepas kahwin...memang romantik...

Bila dah kahwin...malam raya kena berada di kedua-dua rumah pasir pekan (rumah saya) dan pintu geng (rumah suami)..saya akan masak dulu kat rumah...bila dah siap cepat-cepat pergi ke rumah mak mertua...tolong mak mertua masak...bukan masak betul-betul tolong kacau-kacau je...sebab ipar ramai perempuan...kena jaga hati mak mertua dia pun macam mak kita juga...bila dah hampir tengah malam...kami akan usung anak-anak...balik rumah mak jika tahun tu pagi raya beraya di pasir pekan...sebaliknya jika beraya di pintu geng...tengah malam baru balik ke pintu geng....rumah dekat pun masalah jugak....

Malam ni malam raya...sunyi sangat...anak-anak tak merasa meriah malam raya dah dua tahun....mereka tak sabar nak balik KB nak main mercun....dan makan ketupat (si zammil asyik tanya ketupat)...kesian mak mesti sunyi kat rumah hanya dengan adik lelaki (mereka balik malam jumaat)...walau pun ada sepupu mak yang tolong kemas rumah...tentunya tak sama dengan adanya kami riuh rendah suara cucu dan anak-anak....tiga adik tak dapat balik raya pertama kerana kerja...Mak hari Raya kedua rumah kita akan riuh semula...tadi telefon mak masak apa pagi raya....dapur dah tak berasap sebab mata mak kabur....jadi mak tempah kuzi dari sedaranya....

malam ni kami kat perak...beraya kat rumah kakak ipar kerana mak mertua yang dah lumpuh di ambil tanggungjawab olehnya untuk menjaga...kesian kak ani dah tiga tahun tak dapat beraya kat KB...sayu lihat mak mertua..meleleh air matanya...pilu hatinya...Ya Allah ...orang yang sebaik mak mertua pun di uji..apalagi saya yang banyak dosa...

Allahuakbar....

Wednesday, September 16, 2009

JAMUAN RAYA

Walau pun belum habis puasa kepala ligat berpusing untuk mengadakan jamuan raya. menunya apa, siapa nak dijemput, tempat macam mana....yang penting budget ada ke tidak?...

Jamuan Raya ni bukan open house saya tapi OPen School...Jamuan Raya di sekolah...tanya kerani ada duit ke? kerani kata duit semua duit habis...duit PIBG pun langsai....

terfikir duit RIMUP...boleh buat aktiviti RIMUP untuk guna duit tersebut....PIBG sekolah ni langsung tak bergerak...dah mati agaknya....dengar khabar YDP dah letak jawatan...hey...teruk la macam ni....saya biasa bekerja dengan PIBG rasa janggal sangat PIBG tak aktif.

Tanya cikgu Isa (PK KO) dan En. Azman (PK) siapa ketua bahagian kat sini untuk bina hubungan. cari nama-nama pengerusi taman dan ketua kampung...terpaksa kena gunakan khidmat YDP sekolah lama untuk bantu nak buat temu janji dengan YB Dato'Seri MD Zin dan Datin Seri..

Kertas kerja dah disiapkan dan dibincangkan dengan pengetua, penolong kanan dan ketua bidang untuk dapat persetujuan...pengetua sebelum ni nampak ok dan bersetuju...tup..tup pagi ni berubah fikiran..tak sempat la katanya..cadangan tarikh 24 Oktober terlalu dekat katanya..dan lagi tak nak nyusahkan cikgu....hari ni sepatutnya jumpa YB Dato' Seri Kat majlis berbuka puasa di Sepang...nampaknya tak dapat la buat terbuka....buat tertutup je la...

sebenarnya nak jemput YB atas beberapa perkara:

1. nak kutip dan mohon dana untuk tabung kebajikan,
2. nak mengeratkan hubungan ibu bapa, komuniti dan sekolah supaya mereka lebih terbuka dan bersedia untuk hadir ke sekolah. hubungan yang baik akan memajukan sekolah dan pendidikan anak-anak mereka.
3. memperkenalkan budaya pelbagai kaum kepada murid kerana jamuan tu dwiperayaan raya dan deepavali sekali....saya namakan Majlis Mesra Raya...

menu yang dicadangkan sate, nasi impit, lemang, nasi tomato, buah dan murid dan guru masing-masing bawa pot luck saja nak seronok...boleh bayangkan hidangan terpanjang kat sepang...bestnya...tapi sayang kita je seronok boss nampak tu susah...kena la akur arahan boss tak boleh engkar....

so kena kansel temujanji.. cepat-cepat buat surat dan kertas kerja baru untuk mohon dana sahaja....janji dgn wakil YB kalu dapat bagi surat dan kertas kerja pun tak pa la.....

ingat kata Arman...kalu nak buat ikut kepala sendiri kena tunggu jadi boss dulu...hi..hi...

Sunday, September 13, 2009

BALIK KAMPUNG

Bagi kami anak-anak kelate yang mencari rezeki di perantauan saat yang paling menggembirakan adalah pulang berhari raya di kampung. Lagu sudirman dan M. Nasir pasti menjadikan hati penuh keterujaan untuk segera sampai ke kampung dan membuatkan jiwa diruntun kesayuan mengenangkan kedua ibu dan ayah yang lama tak dikunjungi. Apa yang menyeronokkan balik kampung adalah pengalaman sepanjang perjalanan. Cerita-cerita bersesak dijalan raya sepanjang karak-gua musang dan Kuala Krai-Kota Bharu pasti menjadi perbualan hangat sepanjang Hari Raya apabila bertemu sanak saudara. Selalunya waktu malam menjadi pilihan anak-anak perantauan untuk pulang ke kampung kerana lebih sejuk dan tidak risau dengan kerenah anak-anak yang bosan sepanjang perjalanan. Hayunan kereta bagaikan buaian yang mengulik tidur lena anak-anak sepanjang 8 ke 10 jam perjalanan.
Walau pun sepanjang jalan agak perit dengan kesesakan kereta yang pelbagai jenama dari viva hinggalah ke kereta mewah sedan dan MPV, namun hati tetap gembira meredah kepekatan malam dengan lampu kereta yang bersinar bagaikan butiran berlian di sepanjang jalan. Lagi mengharukan apabila semua kedai penuh dengan pelanggan yang mencari juadah untuk bersahur. Sampaikan pernah satu ketika bersahur dengan nasi goreng kosong semata-mata tanpa lauk. Semua surau pun penuh dan hampir tiada tempat untuk berhenti bagi menunaikan solat subuh. Kemeriahan pulang ke kampung bagaikan satu pesta namun menyesakkan jiwa masyarakat Bentong, Raub, Lipis dan Merapoh kerana menyebabkan urusan harian mereka terganggu akibat kesesakan yang berlaku. Apa yang pasti anak-anak Kelate telah menjadikan restoran tepian jalan yang dulunya kecil dan daif menjadi restoran perhentian yang besar dan lebih baik kemudahannya. Kalau dulu pekannya sepi tapi kini semakin maju dengan deretan kedai yang semakin bertambah banyak tumbuh sepanjang jalan di bandar-bandar tersebut. Sepanjang perjalanan kami anak-anak kelate menabur rahmat dan rezeki.
Dalam keriangan dan kemeriahan balik kampung pasti ada peristiwa yang menyayat hati apabila berlaku kemalangan yang mengerikan sepanjang perjalanan terutamanya laluan maut di sepanjang Bukit tujuh dan jalan Gua Musang-Kuala Krai. Mulut akan terkumat-kumit berdoa sepanjang jalan apabila menyaksikan kereta yang masuk gaung, terbabas ke dalam longkang, bertembung sesama sendiri atau pun lori muatan yang terbalik menyebabkan bahan muatan melimpah dijalan raya. Kemalangan yang berlaku akan menambahkan lagi kesesakan yang sedia ada. Kadang-kandang perjalanan akan mengambil masa sehingga 12 jam, 15 jam atau paling kritikal 24 jam.
Namun hari ini, ada alternatif Cameron Highland-Gua Musang yang menyelamatkan sesetengah anak Kelate dari bersesak di Karak-Gua Musang. Walau bagaimanapun jika memilih untuk menggunakan jalan alternatif Cameron-Gua Musang kami akan memastikan perjalanan dimulakan awal pagi agar dapat berbuka di KB pada malamnya. Jalan Cameron-Gua Musang masih belum dilengkapi dengan kemudahan awam yang diperlukan oleh pengguna lebuhraya. Tambahan pula jalan yang sunyi dan tiada penduduk menjadikan anak kelate kurang memilih jalan tersebut bimbang jika berlaku sesuatu kecemasan pasti lebih susah. Kadar Tol yang tinggi juga menyebabkan ianya kurang mendapat sambutan dan anak kelate lebih rela bersesak di Karak-GM.
Tahun ini umur pun dah tambah setahun, suami dah tak mahu lagi merasai kesengsaraan bersesak di jalan raya. Badan pun dah tidak bertenaga untuk berjaga sepanjang malam. Kami mengambil keputusan untuk beraya di sini dan pulang pada pagi Hari Raya selepas solat hari raya perjalanan akan lebih selesa dan masanya lebih singkat. Tahun ini kiranya kali kedua kami beraya di sini. Cuma sedihnya kemeriahannya tak sama dengan beraya di KB. Rupanya kita sudah bergerak ke arah menjadi orang tua...satu hari mungkin kita pun tak perlu ke mana-mana kerana anak-anak akan balik ke rumah untuk beraya. Kami sudah masuk ke generasi seperti makcik dan pakcik yang juga tidak lagi pulang ke kampung kerana orang tua semuanya tidak ada. Suami juga tiada siapa lagi di kampung. Ibu bersama saya...pulang ke kampung untuk menggembirakan ibu yang berkeras sangat nak beraya di kampung.
Masa begitu pantas berlalu...rasanya masih baru dan segar berlari-lari bermain mercun dengan saudara sepupu di halaman rumah dan bertanding mengumpul duit raya. Kemeriahan Raya yang dirasai sewaktu kita kanak-kanak dan remaja sudah tidak dapat dirasai oleh anak-anak kita sekarang. Suasana meriah mereka berbeza...meriah bagi mereka adalah balik kampung.
Selamat Hari Raya anak-anak perantauan, semoga perjalanan pulang akan lebih selamat agar dapat bertemu ibu, ayah dan sanak saudara di kampung. Namun sebelum itu jangan lupa tunaikan zakat.

Saturday, September 12, 2009

SERUMPUN NAMUN TIDAK SEJIWA

Migrasi rakyat negara seberang ke negara kita sudah berlaku berabad lamanya. Malahan ada sebahagiannya sudah menjawat jawatan yang tinggi dan mentadbir negara kita. Dua negara yang bagaikan adik beradik berpupu ini mempunyai pertalian darah yang amat kuat. Namun tidak dapat dinafikan hubungan yang baik ini dicetuskan oleh beberapa isu sejarah yang menjadikannya "unfinished bussiness" antara kedua-dua negara. Bak kata orang tua-tua...manis dimulut tapi sakit dihati. Jika orang tua menanganinya dengan cara berhemah dan berdiplomasi orang muda sekarang mengananinya dengan cara berdiskusi...berdemonstrasi....beremosi...
Pergantungan keterlaluan negara terhadap sumber manusia negara jiran patut dikaji semula. Alternatif kepada pergantungan ini perlu dicari penyelesaian dengan kadar segera. Dalam situasi ekonomi yang tidak memberangsangkan ini kerajaan perlu bertindak tegas untuk mengurangkan pengaliran wang keluar yang sangat tinggi ke negara jiran. Kita kadang-kadang perlu melupakan unggas di rimba....
Pergantungan yang melampau juga akan menyebabkan permintaan yang tinggi terhadap pekerja mereka dan teori ekonomi telah menjelaskan semenjak Adam Smith di zaman revolusi industri eropah lagi jika permintaan tinggi harga akan meningkat...Harga gaji pembantu rumah yang mencecah RM800 amat tidak munasabah jika dibandingkan dengan kelayakannya. Ada pembantu rumah yang tidak boleh berbahasa dengan baik, tingkah laku yang amat menjelakkan, menggunakan pendekatan yang ganas terhadap kanak-kanak dan berpoya-poya dengan kemewahan yang disediakan oleh majikan. Perjanjian baru yang menetapkan RM600 juga pada pandangan saya amat tidak relevan dan membebankan majikan. Masyarakat kita amat berbudi pembantu rumah tidak pernah dilayan sebagai pekerja malahan dilayan seperti saudara. Makan pakai, sakit demam dijaga. Jika majikan bercuti pembantu tetap di bawa sama walau pun tiada privasi. Makan di meja yang sama dengan majikan. Tidak seperti di negara asal mereka...pembantu tetap perkerja dan dilayan seperti pekerja...cuba tanya berapa gaji yang mereka bayar di negara asal mereka....sangat kecil dan tidak patut...
Begitu juga dengan kerja binaan, perladangan dan sektor industri....kita patut memikirkan bagaimana menanganinya dengan baik..persengketaan dan kata-kata sinis akan menimbulkan lagi ketegangan..

Wednesday, September 9, 2009

Malam seribu rahmat

Petua oleh imam Ghazali dan lain-lain ulama' untuk mencari malam lailatu qadar. Jika awal Ramadhan jatuh pada hari:

1. Ahad atau rabu - malam qadar dijangka berlaku pada malam 29 Ramadhan.
2. Isnin - malam qadar dijangka berlaku pada malam 21 Ramadhan.
3. Selasa atau jumaat - malam qadar dijangka berlaku pada malam 27 Ramadhan.
4. Khamis - malam qadar dijangka berlaku pada malam 25 Ramadhan.
5. Sabtu - malam qadar dijangka berlaku pada 23 Ramadhan.

Kata sheikh Abu Hassan bahawa mula dia baligh, dia sentiasa dapat menghidup lailatul qadar pada malam yang tepat mengikut petua di atas. Walau bagaimana pun, janganlah ibadat pada malam tersebut sahaja, carilah malam qadar pada malam-malam yang ganjil lain jugak..

Selamat mencari malam qadar semuga berjaya menghidupkan dengan amal yang berganda..

Wednesday, September 2, 2009

Majlis Agama di sekolah

Semalam hari pertama murid mula berpuasa di sekolah. Kedatangan murid agak tidak memuaskan. Surat mohon sumbangan untuk anak-anak miskin dan yatim telah diedarkan kepada ibu bapa, korporat dan individu yang diharapkan bermurah hati untuk membuat kebajikan di bulan yang mulia ini. Kesempatan juga di ambil mengutip sumbangan daripada guru-guru bagi membeli kurma dan diagihkan kepada semua murid, guru dan staf...nanti kalu deepavali kena cari maruku dan tahun baru cina minta sponsor limau... setakat ni duit belum masuk lagi...Ya Allah mudah-mudahan dibuka pintu hati insan yang mendapat surat untuk menyumbang..
Di sini..SES ibu bapa murid agak rendah. Namun ada juga yang sederhana dan kaya tapi sorang dua. Jika ada yang sudi boleh la menyampaikan sumbangan kepada anak-anak didik kami yang memerlukan.
Berbalik tentang puasa, jika di luar ada majlis agama negeri yang menangkap orang islam yang tak puasa begitu juga di sekolah ada guru disiplin yang menjalankan tanggungjawab tersebut. Walau pun dia beragama hindu tapi tetap merasa bertanggungjawab menegur murid yang tidak berpuasa. Pelajar tersebut menjadikan murid bukan islam sebagai orang suruhan membeli roti di kantin. Di sini ramai murid india dan cina, oleh itu pengetua mahukan kantin di buka untuk mereka tapi hanya di waktu rehat saja.
Sekolah ni baru berusia 5 tahun. Kerusi meja banyak yang rosak perlu di ambil tindakan memohon yang baru atau dibaiki bagi yang boleh. kerosakan bangunan juga banyak. So hari ambil kesempatan ambil gambar dinding bangunan yang retak, kerosakan bilik darjah, tandas, kebocoran siling dll untuk diajukan kepada PPD untuk tindakan pembaikan. boleh tahan juga penatnya....

Tuesday, September 1, 2009

Tenangnya Ramdhan

Alhamdulillah Allah masih beri kesempatan kepada ku untuk berpuasa pada tahun ini. Anak-anak tentunya gembira kerana minggu pertama puasa merupakan cuti sekolah. Entah bila kali terakhir agaknya guru-guru dan anak-anak bercuti di bulan puasa. Jiran sebelah kiri yang kini menetap di Dubai pulang berpuasa di rumah kerana di sana anak-anak sekolah dicutikan sepanjang bulan Ramadhan. Rasanya di negara kita tiada masalah jika berpuasa dan bersekolah. Kita harus didik anak-anak untuk lebih kuat dan bersabar dalam mengerjakan ibadat puasa. Cuaca sekarang juga agak sejuk kerana hampir setiap hari hujan mencurah dengan lebat. Saudara kita di Baling rupanya diuji oleh Allah apabila berpuasa dan mengharungi banjir.

Adik ipar yang baru menamatkan pengajian Doktor perubatan di Pakistan berkali-kali mengucap syukur kerana berpuasa dalam keadaan yang sangat aman, tenang dan cuaca yang sangat nyaman.

Ketenangan Ramadhan pasti akan dinikmati bagi mereka yang beriman dan mengimarahkan bulan yang mulia ini dengan amal ibadat.

Selamat berpuasa....kurangkan pembaziran dengan menahan nafsu membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadhan...