Paparan

Search This Blog

Sunday, May 8, 2011

Ibu engkaulah ratu hatiku...

Bagi yang masih ada ibu, berbahagialah anda kerana ada insan keramat yang kasihkan anda. Tapi bagi yang ibunya sudah pulang mengadap Allah...kasih kita harus terus berpanjangan dengan menjadikan amalan sebagai sedekah kepada ibu dan bapa, selain mensedeqahkan bacaan Al Quran dan zikir.

Allah menggerakkan hati saya untuk berkongsi dengan rakan minda mengenai terjemahan ayat Al Quran yang kebetulan di baca selepas solat asar petang tadi. Allah yang maha mengatur segalanya...bacaan saya tiba pada surah Al-Ahqaaf juz 26.

Tiba pada ayat ke 15, hati tiba-tiba menjadi sayu.....sayu kerana ayat tersebut bercerita mengenai kewajiban berbuat baik kepada ibu bapa....saya tulis balik terjemahan tersebut berbunyi seperti berikut.....Bismillahirahmanirrahim...

Surah 15, Al-Ahqaaf

" Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya yang telah mengandungnya dengan menanggung susah payah. Sedangkan tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh mencerai susunya ialah dalam masa 30 puluh bulan. Setelah ia besar ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur 40 puluh tahun berdoalah ia dengan berkata: "wahai tuhanku, ilhamkan daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang engkau kurniakan kepada ibu bapa ku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk dan patuh kepada Mu).

dan ayat 16, Surah Al-Ahqaaf pula berbunyi....

" Mereka (yang bersifat dengan sifat-sifat terpuji seperti itu) ialah orang yang Kami terima dari mereka amalnya yang baik yang mereka telah kerjakan, dan kami ampunkan kesalahan-kesalahannya; (mereka akan dimasukkan) dalam kumpulan ahli syurga, sebagai memenuhi janji yang benar, yang telah dijanjikan kepada mereka.

sementara peringatan Allah bagi ayat 17, surah Al-Ahqaaf...

" Dan (sebaliknya amatlah derhaka) orang yang berkata kepada kedua ibu bapanya (ketika mereka mengajaknya beriman): "Ah! Bosan perasaanku terhadap kamu berdua! patutkah kamu menjanjikan kepada ku bahawa aku akan dibangkitkan keluar dari kubur, padahal berbagai umat sebelumku telah berlalu (tidak balik-balik lagi)" Sambil mendengar kata-katanya itu - ibu bapanya merayu memohon pertolongan Allah (menyelamatkan anak mereka) serta berkata (kepada anaknya yang ingkar itu): Selamatkanlah dirimu! Berimanlah (tentang hidup semula menerima balasan amal)! Sesungguhnya janji Allah tetap benar" Lalu ia menjawab (dengan angkuhnya): "Semuanya itu hanya cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala!

dan ayat ke 18, surah Al-Ahqaaf Allah menceritakan balasannya...

"Mereka (yang ingkar derhaka seperti itu) ialah orang-orang yang tetap menerima hukuman (azab) bersama dengan umat-umat yang terdahulu daripada mereka - dari kalangan jin dan manusia; kerana sesungguhnya mereka telah menyebabkan diri mereka menjadi orang-orang yang rugi.

(Mushaf Tajwid: Berserta Terjemahan ke Dalam Bahasa Malaysia, Terjemahan oleh Sheikh Abdullah Basmeih, percetakan Darulfikir)

Jika semua ibu bapa mendidik anak amanah Allah dengan berpandukan Al Quran dah Hadis, nescaya dugaan Allah mendapat anak derhaka akan terhindar....

Mohon ampun dan maaflah serta berbuat baiklah kepada ibu bapa sementara mereka atau kita masih ada nyawa di badan.

Selamat Hari ibu...untuk insan yang dipilih oleh Allah menjadi ibu (meminjam kata-kata Dr Faridah Abu Hassan, Pengarah EPRD).

No comments:

Post a Comment

Kongsi minda anda