Paparan

Search This Blog

Saturday, December 24, 2011

Mission complete

Kerja- kerja akhir memantapkan kualti menerbitkan buku memang memenatkan. Semenjak julai lagi memberi fokus sepenuhnya, di samping tugasan lain yang sentiasa datang memenuhkan kotak surat. Dalam dua minggu ini, bila keluar bangunan pejabat malam dah sunyi betul...hanya ada kereta atau motor petugas teknikal dan pengawal keselamatan. Agaknya...Ada yang dah diulit mimpi, atau bersenang lenang di atas sofa yang empuk sambil jari jemari menekan punat tv memilih saluran yang digemari.

Semalam, timbalan sebagai Pengerusi telah mengesahkan semua kandungan yang telah diteliti setiap ayat frasa. Akhirnya...dimuktamadkan...Alhamdulillah. Hemmmm....nikmatnya,....rasanya pagi ni bangun dengan minda yang cukup lapang dan tenang. Semua kerja yang berat dah selesai....dan journey sepanjang tahun ni dah tamat semakan dengan mission yang dah complete.....

Cuma Ada satu lagi....adikku dah merajuk agaknya....tangguhkan pertunangan ke tahun depan....agaknya dik kakakmu ni belum sedar sepenuhnya tanggungjawab dia besar menggantikan ma........

Saturday, December 17, 2011

OMBAK RINDU

Hari ini balik agak awal, lepas solat maghrib terus jalan laju menuju alamanda yang hanya lebih kurang lima minit berjalan kaki (agaknya kot tak pernah kira). Sengaja tak bawa kereta hari ini. Sekarang musim anak cuti ada la driver....berangan jadi mem... bila ain dah masuk kolej yang akan bermula minggu hadapan, hmmmm merasa la terkial-kial cari parking.

Tiket ain dah beli beberapa hari yang lalu bila dia datang jemput balik kerja. Kami bertiga..sengaja pilih waktu tayangan dah ke hujung tak nak bersesak. Dengar cerita...publisiti memang hebat. Masuk lobi TGV..poster pelakon utama dipaparkan..ada yang berkesempatan ambil gambar dengan hero filem...cantik maya pakai tudung...

Memang betul apa yang dikhabarkan...hari ini sesiapa pun boleh datang dengan gembira bersama keluarga untuk melihat filem yang mereka suka. Zaman panggung wayang tempat imej yang tidak baik sudah dibersihkan oleh ibu bapa dan anak-anak yang datang untuk sama-sama berhibur. Ada juga nenek bertongkat dengan anak dara mereka. Golongan wanita yang sebaya saya juga ramai datang dengan rakan-rakan sekerja mereka, dan tidak kurang juga remaja ...dan pasangan. Sekarang jika ada pengunjung berbaju kurung bukan lagi sesuatu yang luar biasa.

Ombak rindu memang melekat di jiwa, di mata, di hati....dan meruntun perasaan. Gandingan Maya dan Aaron memang menjadi dan sangat berkesan di hati penonton. Lisa dengan watak ego, angkuh dan kasar juga harus dipuji, di samping pelakon pembantu yang lain juga berjaya menjiwai watak dengan baik.

Melihat fenomena kejayaan filem hari ini, membuka minda bahawa industri kreatif seni perfileman, teknologi perfileman, grafik, rekaan fesyen, penulisan atau seni kreatif juga semakin berkembang. Kejayaan pengarah menggarap cerita, ketelitian penyuntingan, pemilihan setting yang cantik, menarik dan sesuai dengan jalan cerita di sokong dengan kreativiti pelakon yang menjayakan watak menjadikan sesebuah filem itu berjaya dan dapat menarik minat penonton. Saya percaya pasti ada yang ingin ulang tonton filem ini, jika tidak ke panggung mungkin langgan Astro first.

Penghasilan filem banyak mencipta ruang dan peluang kerjaya di masa hadapan. Tidak perlu ke luar negara untuk mendapat setting yang cantik dan menarik. Filem juga boleh mempromosi industri pelancongan negara seperti yang dilakukan oleh Korea. Filem ini berjaya mencari tempat yang cantik dan saya fikir ..ladang cameron akan ramai dikunjungi selepas ini...dan ke Langkawi untuk mencari di mana rumah atau resort tersebut....atau ke bendang padi yang dikelilingi bukit....sangat perfect..sama seperti buku novel tersebut yang sudah diulang cetak. Universiti juga boleh menjadikan filem sebagai bahan pembelajaran pelajar untuk dibuat kajian bagi mencipta teknologi perfileman yang lebih baik. Pelajar mungkin boleh mejadi pelatih kepada mana-mana produser untuk melahirkan projek pelengkap kursus mereka dalam semua industri yang berkaitan perfileman.

Penulisan kreatif juga boleh berkembang satu hari nanti. Guru BM dan Sastera boleh menghidupkan pembelajaran murid dengan memulakan penulisan jurnal sebagai projek PBS murid. Mata pelajaran sastera harus dihidupkan dan diajar mengenai penulisan kreatif ini. Anak-anak hari ini amat mengagumi penulis novel remaja. Jika sekolah dapat menarik murid untuk membaca dan menulis dengan gaya bahasa yang betul kita akan melahirkan lebih ramai ahli sastera dan penulis yang baik. Begitu juga bidang seni kreatif dan reka cipta yang lain seperti muzik, pereka fesyen, pereka grafik, teknologi berasaskan pengkomputeran, teknologi komunikasi, pereka bentuk model kereta, rumah, hiasan dalam dan lain-lain lagi seharusnya di beri tumpuan kerana industri kreatif ini yang semakin berkembang dan kekal berdaya saing di pasaran antarabangsa. Pasaran indsutri kreatif semakin berkembang dan nilai jualan tahunan juga melonjak tinggi. Begitu juga dengan kelas fotografi yang mengajar murid membuat filem pendek...pasti banyak yang boleh dipelajari oleh murid....dan menyeronokkan..

Jika anak-anak kita memasuki bidang industri kreatif ini, mereka tidak perlu bekerja dengan orang lain tetapi mencipta kerja dan memberi peluang kerja. Berhubungan itu, Pendidikan Asas Vokasional dan Kolej Vokasional harus dikembangkan dan ditawarkan oleh bukan hanya kerajaan tetapi juga sektor swasta secara meluas. Promosilah vokasional sebagai satu lagi aliran pembelajaran yang menjadi pilihan 70% daripada murid sekolah dan pelajar menceburinya, demi untuk membawa negara sebagai negara maju berpandapatan tinggi.

"murid yang cerdik akan melahirkan lebih ramai pekerja dan jawatan, tetapi murid yang pandai hanya mencipta satu kerja dan satu jawatan sahaja" petikan kata-kata Pengarah BPTV...


Sunday, December 11, 2011

PIBG PEMANGKIN KECEMERLANGAN SEKOLAH

Konvensyen PIBG yang berlangsung selama tiga hari dari 9 - 11 Disember 2011 di Genting Highland ditutup oleh YB Datuk Wee pada pagi tadi. Tuntutan PIBG agar kerajaan memperuntukkan dana khas dan diadakan konvensyen kepada lebih ramai perwakilan PIBG di setiap negeri diambil perhatian oleh YB dan turut disaksikan oleh KPPM yang baru dua hari menyambung perkhidmatannya yang tamat pada 8 Disember yang lalu.

Rata-rata PIBG menganggap bahawa tugas mereka amat penting membantu sekolah terutamanya untuk mendapatkan dana. Namun, perkongsian amalan terbaik yang dibentangkan oleh PIBG SK Ulu Lubai harus dicontohi oleh semua perwakilan PIBG daru seluruh negera. PIBG SK Ulu Lubai kebanyakannya adalah petani dan pendidikan mereka adalah pada tahap yang rendah. Namun kita semua harus mengagumi pemikiran mereka lebih maju berbanding ibu bapa yang ada dibandar. Wang bukan fokus utama dalam membantu memajukan sekolah. Sumbangan tenaga dan perhatian terhadap kecemerlangan pendidikan anak-anak mereka diutamakan. SK Ulu Lubai terletak ditengah hutan belantara, namun mereka lebih maju dari segi IT kerana mengadakan jaringan dengan Universiti Bristol dan baru memenangi US$20, ooo dan baru kembali dari China kerana membentangkan amalan terbaik perkongsian komuniti dalam memajukan sekolah anjuran UNESCO.

Perwakilan PIBG di bandar-bandar besar seharusnya malu dengan SK Ulu Lubai. Selama dua hari dalam kedinginan suhu di Genting Highland dihangatkan dengan ketidakpuasan hati perwakilan PIBG yang sering mencari alasan terdapat pelbagai kekurangan di sekolah, mengadu sekolah terlalu bergantung dengan dana yang mereka cari, menceritakan hubungan dengan sekolah yang tidak harmoni, prasarana yang tidak memuaskan hati dan bermacam lagi permasalahan yang semuanya jika di lihat itulah peranan PIBG sebenarnya. Terdapat juga perwakilan yang secara lantang dan tidak menghormati Pengarah KPM dan moderator yang merupakan orang yang dihormati di KPM dengan kata-kata kasar yang mengikut emosi. Ada juga yang mengaitkan sehingga kepada menteri. Jika inilah watak yang ditunjukkan oleh YDP PIBG, kita boleh bayangkan bagaimana mesyuarat PIBG di sekolah. Jika Pengarah dan Menteri pun mereka tak hormati apa lagi pengetua dan guru besar di sekolah.

Nampaknya, betul seperti yang mereka inginkan untuk membuat transformasi kepada PIBG, iaitu membuat anjakan minda kepada pemikiran kelas ketiga kepada minda kelas pertama. Bantuan PIBG bukan wang semata-mata, tetapi tenaga, idea dan pemikiran memajukan sekolah itu yang lebih penting. Jika ada ibu bapa yang pandai berdikir boleh membantu pasukan dikir sekolah, jika panda menjahit boleh membantu kelas jahitan anak-anak, jika pandai motivasi boleh memberikan motivasi kepada anak-anak dan jika mahir dalam sukan boleh membantu menjadi jurulatih. Apatah jika ada ibu bapa yang menjadi anggota tentera atau polis mereka boleh mambantu dari segi membentuk disiplin murid. Budaya hentam menghentam ni masih berleluasa dalam masyarakat Malaysia. tidak kira medan politik, kedai kopi atau mesyuarat PIBG. selagi pemikiran perwakilan PIBG masih mundur, tidak terbuka, tidak mahu membaca dan hanya berada di bawah tempurung kawasan sekitar kampung mereka selagi itu apa yang di buat oleh kementerian semuanya buruk dan tidak ada yang baik.

Menyedari akan hakikat ini, konvensyen di masa hadapan harus menjadikan sejarah persidangan tahun ini yang ceritanya hampir sama dengan yang berlangsung pada tahun lepas juga harus dikaji format dan pengendaliannya. Kementerian harus menyediakan saluran khusus kepada PIBG menyatakan aduan dan pandangan supaya mereka tidak mengumpul dendam setahun untuk diluahkan selama dua hari semasa konvensyen.

Namun tidak dinafikan ada pandangan positif dalam kalangan PIBG. Apa yang lebih bermanfaat ialah jika perwakilan turut mengutarakan cadangan yang membina supaya kementerian dapat mengambil perhatian dan bukan menghentam dengan cara yang kasar dan tidak beradab. saya terfikir itulah watak dan peribadi rakyat Malaysia sebenarnya dan menjadi cabaran yang amat besar kepada guru, pengetua dan guru besar untuk mendidik anak-anak mereka jika itu perangai bapa-bapa mereka.